
Air Selangor memaklumkan bekalan air di Hulu Selangor, Kuala Langat dan Shah Alam sudah pulih 100%.
“Tahap pemulihan di Kuala Selangor ialah 99.4%, Petaling (98.9%), Gombak (85%), Kuala Lumpur (70.5%) dan Klang (50.4%),” menurut Air Selangor dalam kenyataan.
Air Selangor berkata, tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berbeza, bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
Air Selangor berharap pengguna yang mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan.
Air Selangor sebelum ini memaklumkan 998 kawasan di lapan wilayah mengalami gangguan bekalan air berjadual mulai 13 hingga 16 Okt ini disebabkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) dihenti tugas untuk penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal.