Badan Peguam mohon dilibat dalam kes cukai Najib, Nazifuddin

Badan Peguam mohon dilibat dalam kes cukai Najib, Nazifuddin

Badan itu berkata rayuan Najib Razak dan anaknya berkaitan penghakiman terus melibatkan tunggakan cukai RM1.7 bilion adalah kepentingan awam.

Najib Razak diarahkan membayar RM1.69 bilion kepada LHDN, termasuk cukai tambahan dan penalti bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017, manakala anaknya perlu menjelaskan cukai tidak berbayar berjumlah RM37.6 juta bagi tempoh 2011 hingga 2017.
PUTRAJAYA:
Badan Peguam memohon kepada Mahkamah Persekutuan untuk dilibatkan dalam prosiding kes cukai bekas Perdana Menteri Najib Razak dan anaknya Nazifuddin.

Katanya, ia mahu mengikuti cabaran dua beranak itu terhadap kesahihan Akta Cukai Pendapatan kerana kes itu melibatkan kepentingan awam.

Ini termasuk sama ada Seksyen 106(3) akta berkenaan bertentangan dengan Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan, dan sama ada ia ‘ultra vires’ (melampaui kuasa sah) kerana melanggar kuasa badan kehakiman.

Ia juga mahu melihat sama ada Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan adalah relevan apabila melibatkan prosiding tuntutan sivil dalam hal percukaian.

Badan Peguam turut berminat mengetahui sama ada dakwaan Najib dan Nazifuddin bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bertindak dengan niat jahat adalah sesuatu yang termasuk dalam skop Seksyen 106(3) akta berkenaan, selain sama ada ia boleh dipertimbangkan sebagai satu pembelaan oleh mahkamah.

“Beberapa ahli kami mewakili individu yang turut menghadapi tuntutan saman melibatkan tuntutan cukai. Kami faham implikasi yang mungkin berbangkit daripada Seksyen 106(3).

“Kami memohon supaya permohonan untuk menyertai prosiding sebagai ‘amicus curiae’ akan dibenarkan mahkamah,” kata badan itu.

Badan Peguam menamakan lapan peguam yang akan mewakilinya jika permohonan “amicus curiae” itu dibenarkan.

“Kami telah memaklumkan oleh peguam pemohon (Najib dan Nazifuddin) dan mereka tidak membantah permohonan ‘amicus curiae’ kami,” katanya, dengan menambah pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) belum dimaklumkan.

Muhammad Farhan Shafee yang mewakili Najib dan Nazifuddin berkata, pihaknya masih menunggu arahan mahkamah berhubung permohonan Badan Peguam itu.

Najib dan Nazifuddin memohon izin merayu terhadap penghakiman terus yang memerintahkan bayaran tunggakan cukai pendapatan berjumlah lebih RM1.7 bilion daripada mereka berdua.

Mereka telah memfailkan sembilan isu perundangan yang akan dibangkitkan. Izin rayuan hanya akan dibenarkan jika mereka dapat membuktikan persoalan perundangan itu melibatkan kepentingan awam dan tidak pernah dibangkitkan sebelum ini.

Pada 9 Sept, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib dan Nazifuddin untuk mengetepikan penghakiman terus yang diperoleh LHDN terhadap mereka.

Panel tiga hakim diketuai Abdul Karim Abdul Jalil berkata, Akta Cukai Pendapatan 1967 memperuntukkan skema tersendiri bagaimana taksiran dan pungutan cukai harus dibuat.

Abdul Karim berkata, dalam perundangan percukaian, cukai harus dibayar dalam masa yang diperuntukkan setelah taksiran dibuat dan notis diserahkan.

Tahun lalu, hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Bache memerintahkan Najib membayar RM1.69 bilion kepada LHDN, termasuk cukai tambahan dan penalti bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017.

Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Zaidi Ibrahim pula memerintahkan Nazifuddin membayar cukai yang tidak berbayar berjumlah RM37.6 juta bagi tempoh 2011 hingga 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.