Ahli Parlimen Labuan mengaku tidak bersalah atas tuduhan rasuah

Ahli Parlimen Labuan mengaku tidak bersalah atas tuduhan rasuah

Rozman Isli didakwa atas tuduhan salah guna kuasa dalam pemberian kontrak kerajaan kepada ahli keluarganya.

Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli daripada Warisan, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan salah guna kuasa dalam pemberian kontrak kerajaan kepada ahli keluarganya.

Rozman didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menggunakan kedudukannya sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan untuk mendapatkan kontrak pekerjaan bagi syarikat di mana bapa dan adiknya mempunyai kepentingan.

Kesalahan ini didakwa dilakukan di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya pada 2 Mac 2018.

Beliau berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu hakim Rozina Ayob bahawa kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju agar ikat jamin ditetapkan pada RM100,000 dengan seorang penjamin.

Ini disahkan oleh peguam Rozman, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Rozina menetapkan ikat jamin RM100,000 dan berkata, penjamin mestilah seseorang yang tinggal di Semenanjung selepas pihak pembelaan memaklumkan bahawa pembantu Rozman akan membayar ikat jamin.

Mahkamah menetapkan 19 Nov sebagai tarikh sebutan seterusnya.

Semalam, Rozman mendakwa kerajaan cuba merosakkan reputasinya sebelum pilihan raya umum akan datang.

Katanya, tuduhan itu difailkan setelah kerajaan gagal meyakinkan beliau supaya meninggalkan Warisan dan melompat ke pihaknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.