
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa ketika melancarkan dua pakej itu berkata, ia terdiri daripada Celcom, Digi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia dan YTL.
Beliau berkata, ia sebahagian daripada inisiatif kerajaan bagi membantu remaja dan pelajar memperoleh akses internet dan mereka yang kurang berkemampuan untuk memiliki peranti pintar mampu milik.
“Ia juga bukti komitmen kerajaan dalam memastikan setiap rakyat mempunyai akses internet pada harga berpatutan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan kedua-dua pakej itu.
Annuar berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menyasarkan kedua-dua pakej itu akan memberi manfaat kepada lebih 200,000 orang dalam tempoh enam bulan.
Pakej Remaja ialah pakej prabayar khusus bagi remaja dan pelajar berumur 12 tahun hingga 21 tahun menikmati data 20GB pada harga RM30 selama 90 hari yang akan membolehkan pengguna melakukan aktiviti seperti menghantar mesej dan melayari internet.
“Bagi data produktiviti, pembelajaran dalam talian serta aktiviti bekerja dari rumah boleh dilakukan tanpa kekangan data, manakala data 20GB boleh digunakan untuk aktiviti seperti muat turun video atau permainan dalam talian,” katanya.
Bagi pakej peranti pula rakyat boleh memiliki dan menaik taraf peranti mudah alih serta “voice over long-term evolution” (VoLTE) secara percuma.
Teknologi VoLTE membolehkan pengguna menikmati panggilan berkualiti tinggi di rangkaian 4G dan peranti berkenaan boleh dimiliki dengan langganan serendah RM40 sebulan melalui kontrak selama 12 hingga 24 bulan, tertakluk kepada jenis peranti dan perkhidmatan.
Pakej ini termasuk 1GB data percuma untuk aktiviti produktiviti.
Sebagai galakan kepada syarikat telekomunikasi untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR), Annuar akan menaja 1,000 pakej bagi remaja dan peranti untuk anak yatim serta pelajar miskin tegar supaya mereka tidak dipinggirkan daripada menikmati kesalinghubungan lebih baik dan meningkatkan produktiviti.