
Suami Subani, seorang warga Pakistan, pulang ke tanah airnya untuk bekerja pada Januari tetapi sejak itu tidak dapat kembali ke sini susulan sekatan sempadan Malaysia kerana wabak Covid-19.
Selain ingin bertemu suaminya, Subani juga terdesak untuk pergi ke Pakistan bagi mendapatkan rawatan buat anak keduanya yang menghidap masalah kesihatan berkaitan otak dan jantung, dan anak bongsunya yang mempunyai sista berdekatan peti suara.
“Kami sepatutnya ke Pakistan pada Jun untuk mendapatkan rawatan bagi anak kedua kami kerana doktor dan semua rekod perubatannya ada di sana.
“Dia tak dapat insurans kesihatan di sini kerana mengalami terlalu banyak masalah. Dia lahir hanya dengan berat 900g dan tempoh menunggu untuk berjumpa pakar di hospital kerajaan terlalu lama,” kata Subani.
Wanita berusia 38 tahun itu berkata, anak perempuannya sering ke Pakistan sejak 2017 untuk mendapatkan rawatan kesihatan, selain bagi tujuan pemantauan dan pemeriksaan.

Katanya, permohonan suaminya untuk kembali ke Malaysia ditolak dan walaupun seluruh keluarganya memiliki visa jangka panjang untuk masuk ke Pakistan, permohonan mereka telah ditolak tiga kali.
Permohonannya buat kali keempat ditangguhkan selama dua bulan tanpa sebarang keputusan dibuat, jadi beliau terpaksa “membatalkannya dan memohon semula”, kata Subani.
“(Suami saya) dapat kelulusan pada April, tetapi ditarik semula apabila Malaysia menyekat pengembara dari Pakistan dan negara-negara lain di sekitarnya masuk. Walaupun mereka (dari negara lain) tidak disekat, pada September permohonan (suami saya) ditolak.”
Kebenaran bagi rakyat Malaysia meninggalkan negara membawa kelegaan kepada keluarganya, kata Subani kerana ini membolehkan anak-anaknya mendapatkan rawatan perubatan yang diperlukan dan dapat menyatukan keluarganya kembali.
“Kami sangat bersyukur, ini sangat bermakna buat kami,” katanya.
“Kami sangat rindukannya. Anak-anak menangis setiap malam, tertanya-tanya bila dapat berjumpa bapa mereka lagi. Sukar bagi saya untuk menguruskan segalanya sendiri.”
Subani sudah mula mencari tiket penerbangan ke Pakistan dan berharap dapat menyatukan keluarganya kembali dalam tempoh lebih kurang seminggu lagi.