Kanak-kanak OKU meninggal dunia 3 jam tertinggal dalam van

Kanak-kanak OKU meninggal dunia 3 jam tertinggal dalam van

Pemandu tidak sedar mangsa berada di dalam van yang dinaiki ke pusat jagaan harian.

Polis menahan pemandu berusia 34 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Seorang kanak-kanak perempuan yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) meninggal dunia selepas dipercayai tertinggal dalam van di Taman Nusari Bayu, 2, Sendayan, Negeri Sembilan, petang semalam.

Mangsa berusia lapan tahun menaiki van terbabit untuk ke sebuah pusat jagaan harian di Taman Nusari Aman, namun pemandu pulang ke rumah tanpa menyedari kanak-kanak itu masih berada dalam van tersebut.

Ketua Polis Daerah Seremban Mohd Said Ibrahim berkata, pemandu berusia 34 tahun itu dipercayai tidak menyedari mangsa masih berada dalam van dari 2.30 petang.

Beliau berkata, tiga jam kemudian, mangsa ditemui tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

“Mangsa yang merupakan seorang kanak-kanak autisme bagaimanapun disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.

Susulan itu, polis menahan pemandu van tersebut untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.

Susulan itu, katanya pemandu van itu akan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. Bedah siasat ke atas mangsa akan dijalankan untuk mengesahkan punca kematian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.