Hotel di Port Dickson ‘laku keras’

Hotel di Port Dickson ‘laku keras’

Tempahan hotel di lokasi tumpuan itu dikatakan melonjak sejak Negeri Sembilan beralih ke fasa dua PPN pada 26 Ogos lalu.

Tempahan hanya diterima membabitkan pelanggan yang sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19, menurut Pengerusi Persatuan Hotel Negeri Sembilan, Haziz Hassan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kadar tempahan hotel dan penginapan di Port Dickson dijangka mencecah 100% menjelang hujung minggu ini selepas kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri sejak Isnin lalu.

Menurut Pengerusi Persatuan Hotel(MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan, jangkaan itu dibuat berdasarkan jumlah tempahan yang diterima oleh 35 hotel yang berdaftar di bawah persatuan itu.

Katanya, tempahan hotel dilihat melonjak sekitar 50% hingga 60% sejak Negeri Sembilan beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 26 Ogos lalu.

“Bagaimanapun apabila perjalanan rentas negeri dibenarkan sejak Isnin lalu sehingga malam tadi, tempahan yang diterima daripada pelanggan amat memberangsangkan.

“Ramai pelanggan menempah hotel untuk menginap pada hujung minggu ini,” katanya ketika dihubungi, menurut laporan Harian Metro.

Haziz berkata, pihaknya hanya menerima tempahan daripada pelanggan yang sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19, selain sentiasa menekankan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Katanya, mereka terpaksa menolak tempahan daripada pelanggan yang belum lengkap dos vaksin bagi menjaga keselamatan semua pihak.

“Lengkap sahaja dua dos, kami mengalu-alukan kedatangan anda di hotel-hotel kami di Port Dickson,” katanya.

Katanya, pihaknya yakin sambutan baik ini akan berterusan sehingga akhir tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.