Beri peluang pendidikan kepada golongan tak bernegara, kata badan pemikir

Beri peluang pendidikan kepada golongan tak bernegara, kata badan pemikir

Pengarah Pengasas Bait Al-Amanah, Abdul Razak Ahmad berkata, sekolah boleh dibuka semula untuk kumpulan itu pada hujung minggu seperti dilakukan di Turki.

Beberapa kumpulan sukarelawan membantu kanak-kanak dan individu tidak bernegara menerima pendidikan. (Gambar Putri Purnama Sugua)
PETALING JAYA:
Kerajaan Malaysia menawarkan biasiswa kepada pelajar asing, termasuk dari Palestin dan Syria, tetapi enggan berbuat demikian buat individu yang berada di negara ini yang ingin memasuki universiti tempatan, walaupun tidak mempunyai dokumen sewajarnya.

Mempertikaikan perkara itu, Pengarah Pengasas badan pemikir Bait Al-Amanah, Abdul Razak Ahmad berkata, rakyat Malaysia seolah-olah tidak mahu menyelesaikan masalah berkaitan golongan tidak bernegara.

Beliau mengongsikan penyelesaian yang digunakan di Turki dalam mendidik pelarian dan kanak-kanak tidak bernegara.

Katanya, di negara itu sekolah kebangsaan terus dibuka pada hujung minggu untuk golongan berkenaan, seterusnya membolehkan masyarakat pelarian sendiri memastikan pendidikan anak mereka tidak diabaikan.

“Guru dilantik dalam kalangan pelarian sendiri untuk mendidik anak mereka.”

Di Iran, yang juga mempunyai jutaan pelarian beliau berkata, kerajaannya membenarkan kanak-kanak belajar di sekolah kebangsaan.

“Mereka lebih progresif dalam menangani isu pelarian dan kanak-kanak tidak bernegara,” katanya dalam webinar bertajuk “Upholding The Right To Education For Stateless Children”.

Beliau berkata, di Malaysia, pegawai kerajaan masih tidak realistik, selain enggan menerima perubahan.

“Mungkin sukar untuk melihat perubahan dalam kalangan birokrat,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalamannya ketika bertugas di sebuah universiti di Sabah, dengan cuba membantu beberapa kanak-kanak tidak bernegara yang bijak dan berbakat untuk melanjutkan pengajian atau diambil sebagai pensyarah kontrak. Malangnya, usaha itu gagal.

Satu lagi pengalamannya ketika bertugas di Kementerian Pengajian Tinggi ialah cuba mendapatkan biasiswa untuk kanak-kanak tidak bernegara, namun ia gagal.

Razak berkata, kerajaan memberikan biasiswa kepada pelajar asing, tetapi bukannya kanak-kanak tiada berdokumentasi di Malaysia meneruskan pendidikan di universiti tempatan.

Katanya, sikap itu bukan daripada kementerian, sebaliknya golongan birokrat. Ahli politik juga maklum masalah dihadapi kanak-kanak ini, namun isu itu masih tidak ditangani.

Terdahulu, Pengasas bersama Yayasan Chow Kit, Hartini Zainuddin berkata, banyak isu kesihatan dihadapi kanak-kanak tidak bernegara, namun mereka tidak mendapat bantuan perubatan disebabkan kos rawatan tinggi.

Tahap kesihatan ibu mengandung dalam kalangan mereka juga semakin merosot, malah banyak kes bayi mati ketika dilahirkan turut dilaporkan.

Kanak-kanak tidak bernegara di Malaysia tidak dibenarkan memiliki akaun bank, pasport atau bekerja, selain tiada akses untuk pendidikan, katanya.

Beliau menegaskan isu ini melibatkan hak asasi dan tidak boleh “ditutup mata”.

Pesuruhjaya Kanak-kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Noor Aziah Awal memberitahu Parlimen pada November 2020, Kementerian Dalam Negeri menerima 14,477 permohonan kerakyatan.

Daripada jumlah itu, hanya 45 permohonan diluluskan, manakala 691 ditolak dan selebihnya masih diproses.

Tiga NGO di Sabah – Etania Schools Sabah, Iskul Sama DiLaut Omadal dan ANAK – turut berkongsi pengalaman mereka.

Kathryn Rivai dari Etania Schools Sabah berkata, puluhan ribu kanak-kanak tidak mendapat pendidikan di negeri itu dan beliau membantu membuka sekolah di kawasan ladang serta luar bandar.

Katanya, antara isu dihadapi golongan tidak bernegara termasuk ibu bapa sendiri tidak dapat membuktikan tempat kelahiran mereka.

“Kanak-kanak mesti tahu tempat mereka dalam masyarakat. Kenapa kanak-kanak ini tidak boleh diberi dokumen untuk mengelak diketepikan dan berasa diri mereka berdarjat rendah berbanding orang lain?”

Rivai berkata, ibu bapa terlibat biasanya bekerja di ladang dengan melakukan kerja yang lazimnya tidak diminati rakyat tempatan.

“Pendidikan membantu kanak-kanak hidup lebih baik dan berasa bangga dengan diri sendiri. Mereka tidak akan terlibat dengan jenayah sosial.

“Kita perlu memberi mereka peluang supaya dapat menjadi anggota masyarakat berguna.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.