ATM kaji anggota bersara awal diberi pencen

ATM kaji anggota bersara awal diberi pencen

Menteri Pertahanan berkata, cadangan itu merupakan pendekatan serampang dua mata dengan mengambil kira keperluan aturgerak ATM.

Dasar semasa ATM mewajibkan anggotanya yang berpangkat lain menerima pencen selepas berkhidmat selama 21 tahun.
PETALING JAYA:
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang mengkaji pelaksanaan cadangan pemberian pencen kepada anggotanya yang menamatkan perkhidmatan pada tahun ke-12, 15 dan 18.

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata, cadangan ini merupakan pendekatan serampang dua mata dengan mengambil kira keperluan aturgerak ATM.

Beliau berkata, ia turut mementingkan kebajikan anggota yang bersara lebih awal daripada tempoh perkhidmatan 21 tahun.

“Kajian ini akan dipanjangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tindakan selanjutnya.

“Sehingga kajian ini selesai dan diputuskan JPA, skim pencen ATM sedia ada akan terus digunakan,” katanya dalam jawapan bertulis terhadap pertanyaan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) di Dewan Rakyat.

Hishammuddin berkata, menurut dasar semasa ATM, syarat bagi anggota berpangkat lain menerima pencen adalah selepas berkhidmat selama 21 tahun.

Bagaimanapun, anggota juga dibenarkan menamatkan perkhidmatan lebih awal, iaitu pada tahun ke-12, 15 dan 18.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.