Ah Long tawar kerja ‘tolak hutang’ peminjam

Ah Long tawar kerja ‘tolak hutang’ peminjam

Sindiket menawarkan pekerjaan termasuk sebagai penyimbah cat atau penghantar notis ugutan, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Mohd Kamarudin Md Din.

Kamarudin Md Din berkata, sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan tidak membuat pinjaman dengan institusi pinjaman wang tidak berlesen. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis mengesan kegiatan penawaran kerja oleh sindiket Ah Long kepada peminjam yang gagal melunaskan bayaran hutang mereka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Mohd Kamarudin Md Din berkata, sindiket didapati menawarkan pekerjaan kepada individu yang pinjamannya tidak diluluskan untuk bekerja sebagai penyimbah cat atau penghantar notis ugutan, yang kemudian diberikan upah atas kerja dilakukan.

Katanya, peminjam yang gagal melunaskan pembayaran diminta bekerja dengan sindiket sementara jumlah hutang mereka ditolak berdasarkan kerja yang diselesaikan.

“Dua kes itu dikesan di Sabah menerusi penawaran kerja dalam keadaan membabitkan pinjaman individu yang tidak diluluskan serta bagi individu yang gagal melunaskan bayaran hutang mereka.

“Walaupun larangan melibatkan diri dengan sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen dikeluarkan, kegiatan itu masih berlaku di negeri itu,” katanya dalam kenyataan menurut laporan Bernama.

Mohd Kamarudin menasihatkan orang ramai tidak terlibat sebagai pekerja atau membantu sindiket pinjaman wang tanpa lesen untuk membuat gangguan mahupun khianat walaupun secara paksaan kerana ia kesalahan jenayah.

“Tindakan bersekongkol dengan sindiket terbabit secara rela hati atau paksaan untuk melakukan gangguan dan khianat boleh disiasat di bawah undang-undang Seksyen 5 (2) dan Seksyen 29b (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) masing-masing iaitu bagi menjalankan aktiviti pemberi pinjaman tanpa lesen serta mendatangkan gangguan kepada pihak peminjam,” katanya.

Sebagai langkah pencegahan, beliau mengingatkan orang ramai tidak membuat pinjaman dengan institusi pinjaman wang tidak berlesen.

Sementara itu, beliau berkata 644 kes pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau Ah Long disiasat dari Januari hingga September tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.