Wanita dakwa diugut DSP kerana hutang, 2 individu ditahan

Wanita dakwa diugut DSP kerana hutang, 2 individu ditahan

Mangsa mendakwa pegawai polis dan rakannya mengugut membunuhnya dan keluarga selepas menuntut bayaran hutang.

Polis menegaskan ia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk anggota dan pegawainya sendiri yang melanggar undang-undang.
PETALING JAYA:
Dua individu ditahan selepas seorang wanita mendakwa diugut dan dicederakan kerana meminta seorang pegawai kanan polis membayar hutang berjumlah RM100,000.

“Polis telah menahan dua individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” kata Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed, hari ini.

“Polis Kontinjen Selangor memberi jaminan akan melakukan siasatan secara telus dan terperinci, serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk pegawai dan anggota polis yang didapati melakukan kesalahan dan melanggar undang-undang.”

Seksyen 323 Kanun Keseksaan adalah berkaitan dengan menyebabkan kecederaan dan membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Seksyen 506 kanun sama pula melibatkan ugutan jenayah dan membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu hari ini, FMT melaporkan seorang wanita mendakwa rakannya yang juga pegawai polis berpangkat timbalan superintendan (DSP) telah meminjam RM100,000 daripadanya untuk “membeli” pangkat superintendan.

Dalam laporan polisnya, beliau mendakwa DSP itu dan rakannya secara berasingan mengugut akan membunuhnya dan keluarganya kerana meminta wang itu dipulangkan.

Pengadu yang juga jurubahasa mahkamah berusia 36 tahun mendakwa rakan DSP berkenaan menamparnya di pipi ketika beliau menemui dua lelaki itu di sebuah restoran di Klang untuk membincangkan pembayaran balik wang RM100,000 itu, awal bulan ini.

Dalam kenyataannya, Arjunaidi mengesahkan polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 36 tahun berkaitan kes ugutan jenayah melibatkan seorang DSP, yang tular di media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.