
Beliau berkata, arahan khusus berhubung pemeriksaan sijil vaksinasi Covid-19 telah dikeluarkan kepada semua pengusaha pengangkutan awam sama ada darat, udara mahupun sektor maritim, selepas aktiviti merentas negeri dibenarkan mulai semalam.
“Agensi penguatkuasaan boleh membuat pemeriksaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang membuat pemeriksaan secara rawak terhadap bas untuk memastikan semua penumpang mematuhi syarat ditetapkan.
“Pemeriksaan (sijil vaksinasi) ini juga tidak melibatkan kos tambahan kepada pengusaha syarikat pengangkutan, sebaliknya menambah keyakinan penumpang untuk melalui perjalanan jarak jauh menggunakan pengangkutan awam.”
Wee berkata demikian selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Baru Karak di sini, yang turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara, Halimah Mohamed Sadique dan bekas Ahli Parlimen Bentong, Liow Tiong Lai.
Dalam perkembangan lain, Wee berkata, mangsa kebakaran di kampung itu dikecualikan bayaran bagi mendapatkan lesen memandu yang musnah dalam bencana itu bagi meringankan beban mereka.
“Kita sudah membawa unit bergerak JPJ ke sini bagi membantu penduduk dan jika belum membuat permohonan mendapatkan penggantian, mereka boleh ke pejabat JPJ terdekat dan mengemukakan laporan polis,” katanya.
Sebanyak 51 rumah dan sembilan unit kedai di Kampung Baru Karak musnah dalam kebakaran sekitar 9 malam 1 Okt lalu dan punca kebakaran masih dalam siasatan.