‘Tak mungkin saya call PM,’ Idris nafi rakaman tular

‘Tak mungkin saya call PM,’ Idris nafi rakaman tular

Penafian itu susulan penularan satu rakaman di media sosial, dikatakan perbualan antara beliau dan Ismail Sabri Yaakob.

Idris Haron menafikan beliau pernah menghubungi atau dihubungi Perdana Menteri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Idris Haron menafikan ada kaitan dengan rakaman audio tular yang didakwa perbualan telefon antara beliau dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Tak mungkin saya ‘call’ (buat panggilan) PM (Perdana Menteri) ataupun PM call saya.

“Sedangkan Presiden (Ahmad Zahid Hamidi) dan Rauf (Ab Rauf Yusoh) pun saya tidak pernah hubungi, ataupun dihubungi mereka,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Menurut laporan itu, suara dikatakan mirip Idris itu mendakwa menerima pujian daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin Umno susulan penarikan sokongannya terhadap Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali.

Suara itu juga mendakwa Idris memperolehi sokongan ADUN secukupnya untuk menubuhkan kerajaan baharu, termasuk daripada DAP.

Namun, suara dikatakan mirip Ismail Sabri meminta gerakan menarik balik sokongan terhadap Sulaiman itu dihentikan, agar kredibilitinya sebagai Perdana Menteri tidak dipersoalkan.

Terdahulu, media melaporkan Idris Haron, bersama tiga lagi bekas ADUN Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Sulaiman Md Ali, berkuat kuasa serta merta.

Tiga ADUN terbabit adalah Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.