
Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang tidak bersetuju dengan pindaan Rang Undang-undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020 menyifatkan pelaksanaan cukai itu sebagai “short term gain, but long term pain” (untung jangka pendek, kerugian jangka panjang), yang akan memburukkan lagi ekonomi negara pada masa depan.
“Malaysia tidak seharusnya ada undang-undang levi keuntungan luar biasa kalau kita nak jadi hab industri.
“Jangan kita terlalu gelojoh sehingga syarikat ini akan pergi ke luar negara kerana keadaan di luar sana lebih selesa. Jangan kita usir mereka ke negara lain,” katanya ketika membahaskan RUU Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020 di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, dianggarkan nilai pelaburan syarikat rakyat Malaysia di luar negara lebih kurang sama dengan pelaburan asing yang masuk ke negara ini.
“Kita mesti luaskan ekonomi supaya dapat lebih keuntungan untuk jangka panjang. Jika mereka dihalau keluar, ia akan menyebabkan kita menjadi negara lebih miskin,” katanya sambil mendedahkan ekonomi Vietnam sudah melepasi saiz ekonomi Malaysia.
Dalam pada itu, Ngeh menegaskan keuntungan luar biasa yang dinikmati sesetengah industri, terutamanya industri pembuatan sarung tangan ketika pandemik bukan bersifat kekal.
Justeru katanya, keuntungan sementara itu wajar dinikmati pemain industri.
“Sungguhpun ada kalanya berlaku keuntungan luar biasa, tetapi bagi peniaga dan pengusaha, kerap berlaku kerugian melampau sehingga menyebabkan perniagaan terpaksa ditutup, terutama ketika krisis ekonomi dunia melanda pada 1997, 2008 dan sekarang.”