
PH menolak pengisytiharan darurat untuk menangguhkan pilihan raya negeri (PRN) Melaka seperti yang dibincangkan beberapa pihak, susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu baru-baru ini.
Di Sarawak, beberapa pemimpin gabungan itu sebelum ini menolak untuk mengadakan pilihan raya di negeri itu ketika pandemik bagi menjaga keselamatan rakyat.
Penganalisis dari Universiti Malaya (UM) Awang Azman Pawi berkata, pemimpin PH di peringkat pusat harus mengambil pendirian tegas bagi mengelak timbulnya persepsi bahawa mereka tiada pendirian tetap atau bersikap oportunis.
“Ia bukan hanya mengenai isu ini tetapi semua perkara. PH perlu dilihat sebagai berpendirian tetap supaya tidak hilang kepercayaan orang ramai,” kata Awang Azman.
Katanya, pilihan raya pasti akan memberi kelebihan kepada Gabungan Parti Sarawak yang mempunyai kekuatan jentera dan lebih banyak sumber.
PH kemungkinan mahu memastikan pelaksanaan Undi18 terlebih dulu sebelum mana-mana pilihan raya diadakan kerana generasi muda belum mempunyai kecenderungan terhadap mana-mana parti berbanding pengundi lebih berusia yang lebih setia kepada parti mereka.
Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah Lee Kuok Tiung berkata, mereka yang mendesak supaya pilihan raya diadakan akan berdepan kemarahan pengundi kerana kebanyakannya masih bergelut untuk meneruskan kehidupan di tengah-tengah krisis kesihatan dan ekonomi.
Katanya, walaupun PH Sarawak telah menyuarakan kebimbangan terhadap kesihatan rakyat untuk menolak PRN diadakan ketika ini, penangguhan itu bagaimanapun akan memberi kelebihan kepada mereka yang akan mempunyai lebih banyak masa untuk membuat penyusunan dengan pembangkang tempatan, Parti Sarawak Bersatu (PSB) bagi memastikan ia berdepan pertarungan dua penjuru dengan GPS.
“Timbul khabar angin mengatakan PH mahu membentuk pakatan dengan PSB yang dijangka meningkatkan lagi peluang mereka,” katanya.