Umno calon Ahli Parlimen Cameron Highlands Timbalan Speaker Dewan Rakyat

Umno calon Ahli Parlimen Cameron Highlands Timbalan Speaker Dewan Rakyat

Hari ini tarikh akhir bagi menyerahkan nama calon sebelum Parlimen kembali bersidang pada 25 Okt.

Ramli Mohd Nor yang juga pesara polis memenangi Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands pada Januari 2019. Beliau satu-satunya Ahli Parlimen Orang Asli di negara ini.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor dicalonkan oleh Umno sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Dalam hantaran di Twitter, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, keputusan itu dipersetujui Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno.

“Ini suatu sejarah, sebagai Orang Asli yang pertama dicalon,” katanya.

Tambahnya, hari ini adalah hari terakhir untuk mencadangkan nama, sebelum Parlimen bersidang semula pada 25 Okt.

Ramli yang juga pesara polis telah memenangi Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands pada Januari 2019. Beliau adalah satu-satunya Ahli Parlimen Orang Asli di negara ini.

Ramli mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Beliau memegang jawatan Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial sebelum bersara pada Okt 2018.

Jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat dikosongkan susulan peletakan jawatan Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said pada 23 Ogos.

Ketika itu, Azalina memberikan alasan keputusannya disebabkan konflik moral, peribadi dan politik selain untuk membolehkan kerajaan dan pembangkang membuat pembaharuan pada sidang Dewan Rakyat September lalu.

Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan yang dicalonkan untuk jawatan Timbalan Speaker oleh kerajaan, menarik diri pada 7 Okt untuk memfokuskan terhadap peranannya sebagai Setiausaha Agung Umno.

Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming juga telah dicalonkan namanya.

Jawatan Timbalan Speaker turut kini dipegang Ahli Parlimen Batu Pahat Mohd Rashid Hasnon.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.