Rentas negeri: Aliran trafik lancar walaupun kenderaan bertambah

Rentas negeri: Aliran trafik lancar walaupun kenderaan bertambah

Menurut polis, setakat malam tadi tiada jangkaan trafik yang luar biasa.

Jalan-jalan utama menuju keluar dari ibu kota berada dalam keadaan terkawal dan tiada aliran trafik luar biasa dikesan, menurut polis. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Keadaan jalan utama menuju keluar dari ibu kota dalam keadaan terkawal dan tiada aliran trafik luar biasa dikesan walaupun rentas negeri dibenarkan bermula tengah malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Mat Kasim Karim ketika dihubungi Bernama berkata, setakat malam tadi tiada jangkaan trafik yang luar biasa.

“Orang ramai juga diingatkan jangan terlalu ghairah untuk melakukan pergerakan rentas negeri kerana negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Jalan Duta tengah malam tadi mendapati aliran trafik seperti biasa walaupun terdapat pertambahan kenderaan.

Beberapa kenderaan turut dilihat berhenti 300 meter dari plaza tol bagi menantikan detik 12 tengah malam sebelum keluar dari Plaza Tol Gombak.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media khas semalam memaklumkan kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula 11 Okt.

Susulan itu, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataannya memaklumkan polis akan menjalankan pemeriksaan secara rawak di kawasan tumpuan dan menamatkan sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Op Benteng dan cegah jenayah serta keselamatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.