
Presidennya Ismail Awang, berkata, rekod pertubuhan itu mendapati badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan tiada dalam senarai gabungan sedia ada.
Beliau menyifatkan penahanan individu itu menjejaskan imej PERMAS sebagai NGO berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
PERMAS juga sedang mempertimbangkan untuk membuat laporan polis berhubung perkara ini kerana ia memberi kesan kepada imej pertubuhan berbaiah di negara ini,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Ismail berkata, pihaknya juga meminta pihak berkuasa untuk menjalankan pemutihan ke atas NGO berbaiah yang tidak berdaftar bagi memastikan semua aktivis bebas daripada gejala tidak sihat.
“Saya juga nasihatkan kepada mana-mana pertubuhan Ayahanda berdaftar supaya mengambil tindakan tegas kepada mana-mana ahli mereka yang terbabit dengan perlakuan tidak bermoral.
“PERMAS juga akan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa untuk memastikan semua rakan gabungan bersih daripada perkara yang menyalahi undang-undang negara,” katanya.
Semalam, Bernama melaporkan, polis Terengganu menahan 52 individu termasuk enam wanita yang dipercayai menghadiri mesyuarat sebuah pertubuhan haram.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Mohd Marzhuki Mohd Mokhtar berkata, kesemua suspek yang berusia lingkungan 16 hingga 52 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di bandar raya ini kira-kira 9 malam, Jumaat lalu.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, kesemua suspek mengaku menghadiri mesyuarat sebuah pertubuhan tidak berdaftar dengan JPPM, yang modus operandinya menjalankan aktiviti tarik kereta yang tertunggak bayaran bank.
Katanya, saringan awal ujian air kencing terhadap kesemua individu mendapati seramai enam orang positif dadah jenis metamfetamin manakala, tiga daripada individu yang ditahan merupakan ketua pertubuhan terbabit dengan gelaran ‘Ayahanda.’