
Seorang doktor dari Hospital Sungai Buloh yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, dia takut akan berlakunya ancaman gelombang Covid-19 yang baharu, namun percaya rakyat perlu belajar hidup dengan virus tersebut.
“Saya berada dalam dilema (mengenai penamatan sekatan) sebab kalau bukan sekarang, bila lagi? Dalam masa sama, ada rasa takut dan ragu-ragu. Sama seperti kita belajar hidup dengan penyakit berjangkit lain, kita juga harus belajar hidup dengan Covid-19,” katanya.
Kerajaan sekarang harus fokus pada penambahbaikan perkhidmatan kesihatan dalam waktu terdekat, sebelum peningkatan kes Covid-19 berlaku sekali lagi.
“Tidak ada gunanya khuatir tentang gelombang Covid-19 yang baharu sedangkan kita masih tidak lengkap dengan ‘jaket keselamatan’. Belajarlah daripada kesilapan kita sebelum ini,” katanya.
Ahmad berkata, negara ‘meraikannya’ terlalu awal ketika jumlah kes menurun pada penghujung gelombang pertama tahun lalu. “Sekarang kerajaan perlu berhenti bersikap reaktif dan mula bersikap proaktif.”
Seorang lagi petugas barisan hadapan, Syamimi (bukan nama sebenar) yang bekerja di sebuah hospital di Lembah Klang berkata, dia menyambut baik kelonggaran itu tetapi bimbang akan kemungkinan tercetusnya gelombang Covid-19 berikutan sikap segelintir orang.
“Ingat kali terakhir kita dibenarkan melakukan perjalanan? Kita terpaksa berdepan dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) selepas itu.
“Ya, kali ini kita telah divaksinasi tetapi kita tidak boleh menolak kemungkinan gelombang lain. Jangan lupa fakta bahawa virus ini boleh bermutasi,” katanya kepada FMT.
Dia meminta orang ramai tidak leka dan terus mengikuti SOP. “Sanitasi, pakai topeng muka dan tolong lakukan saringan sebelum memulakan perjalanan,” tambahnya.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan kebenaran rentas negeri dan populasi dewasa yang sudah lengkap divaksinasi boleh melakukan perjalanan rentas negeri tanpa memerlukan kebenaran polis. Rakyat juga boleh ke luar negara, tetapi akan dikenakan kuarantin sejurus tiba di tanah air.
Negara melarang kemasukan warga asing kecuali kes tertentu sejak pandemik bermula pada Mac 2020. Larangan rentas negeri dilaksanakan pada Januari apabila perintah darurat diisytiharkan susulan peningkatan kes yang mendadak.