Kakitangan awam berpakaian ketat, tak tutup aurat berdepan tindakan, kata Exco Kelantan

Kakitangan awam berpakaian ketat, tak tutup aurat berdepan tindakan, kata Exco Kelantan

Mohd Nassuruddin Daud berkata kerajaan negeri sudah menetapkan garis panduan berkaitan soal pemakaian bagi kakitangan awam negeri.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud, berkata, garis panduan pemakaian kakitangan awam sudah ditetapkan dan perlu dipatuhi.
PETALING JAYA:
Kakitangan awam di Kelantan yang didapati berpakaian tidak menutup aurat khususnya bagi kakitangan wanita akan dikenakan tindakan.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Nassuruddin Daud menegaskan, kerajaan Kelantan sudah menetapkan garis panduan berkaitan soal pemakaian bagi kakitangan negeri.

“Mengenai pakaian kakitangan sebenarnya kita ada garis panduan yang ditetapkan.

“Namun kita tak nafikan ada kakitangan yang pakai ketat. Jadi kita akan minta pihak pentadbiran bagi nasihat. (Dalam hal ini) kita akan ambil tindakan,” katanya pada majlis Dialog Ummah Negeri Kelantan siri ketujuh yang berlangsung secara dalam talian, malam tadi.

Ditanya mengenai kelompongan dalam sistem pendidikan susulan kes gejala sosial di Kelantan, Nassuruddin berkata, perkara tersebut sepatutnya diambil berat oleh golongan ibu bapa dalam mentarbiyah institusi keluarga.

“Kerajaan kena buat kerja kerajaan, ibu bapa kena buat kerja ibu bapa. Dari segi pendidikan Islam, alhamdulillah,” katanya.

Beliau berkata, sistem pendidikan sama ada melalui institusi masjid dan sekolah-sekolah sudah berusaha melakukan yang terbaik untuk membimbing generasi muda ini.

“Sebenarnya dari sudut pendidikan Islam di Kelantan dalam masyarakat kita di masjid, surau dan madrasah sudah ada tenaga pengajar.

“Di sekolah-sekolah sama ada sekolah rendah, menengah kebangsaan atau sekolah agama pun mempunyai kurikulumnya dari segi pendidikan Islam, alhamdulillah.

“Cumanya keluarga patutnya ambil berat. Kita sebagai ibu bapa kadang-kadang tak ambil berat soal tarbiah pendidikan Islam, bukan saja belajar tapi segi akhlak Islam. Sekarang ini perkara-perkara yang menarik ke arah perkara negatif terlalu banyak,” katanya.

Untuk rekod, mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan melalui Seksyen 5 (1), iaitu melakukan perbuatan tidak sopan termasuk cara berpakaian boleh membawa hukuman denda RM1,000 atau penjara enam bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.