Bapa temui mayat anak lemas jatuh bot

Bapa temui mayat anak lemas jatuh bot

Mangsa menaiki bot seorang diri dan tiada sesiapa menyedari dia terjatuh sebaliknya hanya melihat botnya berpusing-pusing.

Abdul Razak Ismail menemui mayat anaknya Mohamad Farhan yang lemas selepas terjatuh ke dalam laut awal pagi tadi.
PETALING JAYA:
Seorang nelayan ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh dari bot ketika memukat di Pantai Sri Tujoh, Tumpat, hari ini.

Mayat Mohamad Farhan Abdul Razak, 23, ditemui pada jam 4 pagi oleh bapanya, Abdul Razak Ismail, 59, yang juga turun ke laut dengan menaiki bot berasingan.

Abang mangsa, Mohamad Farizal, 31, berkata, adiknya turun ke laut menaiki bot seorang diri kira-kira 2 pagi tadi, manakala bapanya serta beberapa nelayan lain turun lebih awal.

“Kedudukan bot mereka tidak jauh antara satu sama lain, namun tiada siapa menyedari bila Farhan terjatuh sebaliknya hanya nampak bot yang dinaikinya sahaja berpusing-pusing.

“Bapa yang berada tidak jauh dari bot adik segera diberitahu dan mereka cuba mencarinya sebelum ternampak mayat Farhan timbul di permukaan air,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Mohamad Farizal berkata, tiada sebarang perubahan pada mangsa, malah dia tidak menyangka kejadian lemas menjadi asbab arwah pergi buat selama-lamanya kerana Mohamad Farhan sudah biasa memukat.

Katanya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pak Keral, di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Mohd Razi Rosli mengesahkan menerima laporan kejadian dan penemuan mangsa.

Mohd Razi berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 13 batu nautika dari jeti Pantai Sri Tujoh oleh bapanya sendiri sebelum membawa pulang menaiki botnya.

“Soal siasat mendapati tiada saksi melihat mangsa terjatuh, sebaliknya hanya ternampak bot berpusing di laut tanpa mangsa di dalamnya.

“Keluarganya juga memaklumkan mangsa tidak mempunyai sebarang penyakit dan tiada unsur jenayah dalam kejadian,” katanya sambil mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.