Tempahan hotel di Langkawi tak berkurang walaupun selepas cetusan jangkitan Covid-19

Tempahan hotel di Langkawi tak berkurang walaupun selepas cetusan jangkitan Covid-19

Banyak kes-kes Covid-19 berpotensi disekat daripada memasuki pulau itu disebabkan langkah-langkah awal yang diambil, kata persatuan hotel.

Seramai 38,748 pengunjung dilaporkan memasuki Langkawi dalam dua minggu selepas pelancaran gelembung perjalanan membabitkannya pada 16 Sept. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Tempahan hotel di Langkawi tidak mengalami penurunan, walaupun tercetus jangkitan baharu di salah sebuah hotel terkemuka di pulau itu, menurut persatuan hotel.

“Tiada penurunan dalam tempahan dilaporkan setakat ini setelah jangkitan tercetus,” kata Pengerusi Kedah-Perlis Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Eugene Dass.

“Kita semua tahu Langkawi berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara, di mana perniagaan dibenarkan beroperasi dan pergerakan dijangka meningkat di pulau itu,” katanya kepada FMT.

Katanya, seramai 38,748 pengunjung memasuki pulau itu dalam dua minggu selepas pelancaran gelembung perjalanan Langkawi pada 16 Sept.

Minggu lalu, 59 pekerja hotel terbabit dan ahli keluarga mereka dikesan positif Covid-19, mengakibatkan penutupan sementara premis hotel. Difahamkan para tetamu segera dipindahkan ke hotel lain apabila kes mula dikesan.

“Langkah-langkah telah diterapkan bermula dari masa pelanggan naik kapal terbang atau feri. Dengan cara ini, banyak kes-kes berpotensi disekat daripada memasuki (pulau),” kata Dass.

“Kami ingin mengingatkan semua orang untuk kekal menjaga keselamatan ketika negara ini menuju ke arah keadaan endemik Covid-19.

“Pihak berkuasa tempatan mesti mengkaji prosedur operasi standard (SOP) tertentu dan memastikan pengunjung pulau diperiksa sebaiknya. Perlu juga kajian lanjut bagi SOP baharu sesuai dengan keadaan endemik, dan MAH sudi memberi pandangan jika diperlukan.”

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri berkata, projek gelembung perjalanan membabitkan Langkawi berjaya, dengan perbelanjaan pelancong dicatatkan bernilai lebih RM15 juta.

“Kami sedang berusaha untuk membenarkan pelancong dari luar negara mengunjungi Langkawi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.