Operasi mencari 5 pemancing hilang ditangguh selepas tiada petunjuk baharu

Operasi mencari 5 pemancing hilang ditangguh selepas tiada petunjuk baharu

Tiada sebarang petunjuk baharu ditemui kecuali penemuan boya berwarna jingga terapung yang disahkan pemilik bot, masuk hari ketujuh operasi mencari dan menyelamat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim) Sarawak Zin Azman Md Yunus berkata operasi yang memasuki hari ketujuh semalam itu terpaksa ditangguhkan pada 5 petang susulan tiada petunjuk baharu ditemui. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiada petunjuk baharu ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima pemancing yang dilaporkan tidak pulang selepas menuju ke kawasan perairan Karang Berumput dan Tukun Bass dari Santubong, Sarawak sejak 1 Okt lepas.

Susulan itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim) Sarawak Zin Azman Md Yunus berkata operasi yang memasuki hari ketujuh semalam itu terpaksa ditangguhkan pada 5 petang.

Katanya, pasukan penyelamat tidak menjumpai sebarang petunjuk baharu kecuali penemuan boya berwarna jingga terapung yang disahkan pemilik bot pada jarak kira-kira 34.5 batu nautika barat laut Muara Sungai Santubong, pada hari pertama SAR 3 Okt lepas.

“Pencarian mangsa dan bot masih dilakukan selepas ini, yang akan dimasukkan dalam sektor rondaan operasi harian untuk aset-aset yang beroperasi di laut kelak dan kebarangkalian mangsa yang dicari masih hidup mungkin tipis,” katanya, menurut laporan Bernama.

Zin berkata pasukan penyelamat telah membuat pencarian dengan keluasan keseluruhan dari hari pertama hingga ketujuh merangkumi 3144.04 batu nautika persegi yang melibatkan pelbagai aset melakukan pencarian di laut serta melalui udara.

“Maritim Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi yang terlibat iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, polis, Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Sarawak Coast Guard serta JKK Telaga Air dan komuniti maritim sekitar,” katanya.

Lima mangsa yang hilang itu ialah Khamizan Saidi, 40; Ng Ching Hui, 36; Christopher Teo, 32; Yap Tze Kang, 41; dan Leo Dy Lee Jiann Tarn, 35.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.