
Berdasarkan perangkaan di portal CovidNow, 94.7% atau 22,176,018 individu daripada populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala 6.5% atau 204,536 remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah selesai divaksinasi.
Bernama melaporkan seluruh negara terutama pemain industri pelancongan mula bersiap sedia menerima ‘gelombang’ pergerakan rentas negeri susulan kebenaran aktiviti itu dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilapor berkata kebenaran rentas negeri akan dikuatkuasakan serentak di seluruh negara setelah kadar vaksinasi populasi dewasa mencapai 90%.
Sementara itu, sejumlah 141,897 dos telah diberikan semalam dengan 39,183 melibatkan dos pertama manakala 102,714 dos kedua, menjadikan jumlah pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 45,521,196 dos.
PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.