Sarawak benar operasi pawagam mulai esok

Sarawak benar operasi pawagam mulai esok

Kebenaran beroperasi di bawah Pelan Pemulihan Negara Fasa 3 itu perlu mematuhi garis panduan ditetapkan, kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak bersetuju membenarkan pawagam di negeri ini kembali beroperasi mulai 10 Okt ini. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Sarawak membenarkan pengoperasian semula sektor industri kreatif (pawagam) mulai 10 Okt ini.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, kebenaran beroperasi di bawah Pelan Pemulihan Negara Fasa 3 itu perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

“Prosedur operasi standard (SOP) sektor industri kreatif (pawagam) boleh didapati di laman sesawang JPBN iaitu http://sarawakdisastermc.com,” katanya, menurut laporan Bernama.

Dalam perkembangan berkaitan, hanya 1.57% atau 21 daripada 1,339 kes positif Covid-19 direkodkan di negeri itu semalam melibatkan jangkitan paru-paru yang memerlukan bantuan oksigen dan ventilator.

Baki 98.43% atau 1,318 kes pula tidak bergejala atau mempunyai gejala ringan.

Selain itu, negeri itu mencatatkan lapan kematian akibat Covid-19 dari 28 Sept hingga 6 Okt manakala terdapat sembilan kluster diisytiharkan tamat semalam, menjadikan jumlah kluster yang aktif setakat ini ialah 80.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.