Umno dah cukup, orang Melayu akan berpuak jika banyak parti, kata Mahdzir

Umno dah cukup, orang Melayu akan berpuak jika banyak parti, kata Mahdzir

Naib Presiden Umno itu berkata, tiada keperluan untuk orang Melayu menubuhkan banyak parti.

Mahdzir Khalid berkata, dengan adanya Umno, sudah cukup bagi orang Melayu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kewujudan banyak parti politik Melayu akan menyebabkan orang Melayu berpuak-puak, kata Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid.

Oleh itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar itu berkata, tiada keperluan untuk orang Melayu menubuhkan banyak parti.

“Umno satu sudah cukup, ini kalau buat bagi banyak lagi, kita akan berpuak-puak.

“Ikutlah pakat-pakat dalam satu organisasi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas laporan media semalam mengenai tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengetuai mesyuarat dengan sekumpulan veteran Umno bagi membincangkan usaha menubuhkan “Umno lama” semula.

Bekas Pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu dilaporkan berkata, pertemuan itu menyusul kebimbangan veteran Umno berhubung situasi semasa politik negara.

Mengulas penubuhan Parti Kuasa Rakyat yang diketuai Kamaruzaman Yaakob, abang kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, Mahdzir berkata, lebih baik orang Melayu menyertai parti politik sedia ada.

“Pada masa ini, sudah ada terlalu banyak parti politik dalam kalangan orang Melayu.

“Orang Melayu yang banyak sangat parti ni, rakan-rakan kaum Cina dan India tidak sebanyak orang Melayu. Tak tahulah apa matlamat mereka (tubuh parti baharu),” kata Mahdzir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.