Kerajaan ada dana bantu lebih ramai orang miskin, menurut pengkritik

Kerajaan ada dana bantu lebih ramai orang miskin, menurut pengkritik

Tidak perlu sumber pendanaan baharu kerana ia mampu ditanggung melalui peruntukan semula daripada belanjawan sedia ada, kata ahli ekonomi.

Orang ramai beratur untuk menerima bakul makanan. Kerajaan dikatakan tidak mampu menanggung tambahan RM3 bilion untuk memberi bantuan kebajikan mengikut PGK baharu.
PETALING JAYA:
Kerajaan dikritik kerana menggunakan pendapatan garis kemiskinan (PGK) sebanyak RM980 sebulan sebagai asas menentukan kelayakan bagi mendapatkan bantuan kebajikan.

Mengulas mengenai dakwaan bahawa kerajaan tidak mampu menanggung tambahan RM3 bilion yang diperlukan sekiranya mengikut PGK baharu sebanyak RM2,208 sebulan, Geoffrey Williams daripada Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, keutamaan Putrajaya tersilap.

Kerajaan boleh mengumpulkan dana dengan mudah, katanya.

Beliau bertanya sama ada golongan miskin bukan keutamaan bagi kerajaan dan berkata, ramai terkejut apabila mengetahui kerajaan tidak mampu memperuntukkan tambahan RM3 bilion.

“RM3 bilion hanyalah 0.9% daripada belanjawan kerajaan bagi 2021 yang bernilai RM322 bilion,” katanya.

“Terdapat juga dana tambahan daripada kenaikan dana Covid-19.

“RM3 bilion hanya 0.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), jadi ia sangat berpatutan. Bahkan tidak perlu mencari sumber pendanaan baharu kerana ia mampu ditanggung melalui peruntukan semula daripada belanjawan sedia ada.”

Katanya, PGK lama terlalu rendah untuk menampung keperluan asas seperti makanan dan sewa, bahkan nilainya lebih rendah daripada gaji minimum.

“Ini mencetuskan kemiskinan tegar dan kebergantungan kepada keluarga, kebajikan, atau bungkusan makanan.

“Jika tiada akses kepada ini, bendera putih akan dinaikkan,” katanya, merujuk kepada kempen Bendera Putih yang bermula pada Jun, di mana ia digantung di luar rumah sebagai isyarat bantuan diperlukan.

Katanya, pemberian bantuan berdasarkan PGK yang disemak semula tidak akan memberi manfaat kepada semua dalam golongan M40, hanya bagi mereka berpendapatan bawah RM2,208.

“Ramai mungkin ada simpanan dan sumber pendapatan lain. Jadi mereka tidak layak,” katanya.

Pada Rabu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Mohd Yusoff memberitahu Dewan Rakyat, kerajaan telah memberi bantuan kebajikan berdasarkan PGK sebanyak RM998 semasa wabak.

Katanya, kerajaan tidak mampu menanggung tambahan RM3 bilion yang diperlukan sekiranya mengikut PGK baharu.

Bagaimanapun, katanya, Jabatan Kebajikan akan mula menggunakan PGK baharu tahun depan.

Hartini Zainudin, pengasas bersama pusat krisis Yayasan Chow Kit, berkata alasan Siti Zailah tidak kukuh.

“Saya berasa terhina dengan respons beliau yang meremehkan (isu ini),” katanya.

“Tahukah beliau berapa ramai orang miskin terjejas oleh wabak ini? Namun, beliau menyerahkannya kepada NGO dan organisasi berasaskan komuniti untuk memikul tugas kementerian.”

Hartini bertanya sama ada kementerian berkenaan tidak dapat mengatur semula programnya sekarang untuk menyediakan dana yang diperlukan.

“Mengapa kamu tidak dapat beri makan kepada orang miskin? Itu tanggungjawab kementerian kamu,” katanya kepada Siti Zailah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.