
Pejabat Ahli Parlimen Pengerang itu menerusi kenyataan turut menafikan Danesh Raja adalah pegawai khas Azalina, sebaliknya beliau adalah pegawai media sosial yang mengendalikan urusan berkaitan akaun rasmi media sosial beliau.
Menurut kenyataan itu, Azalina hanya tahu mengenai pelantikan Danesh Raj pada 5 Okt lalu melalui poster ucapan tahniah UM yang dikongsikan, selain ditularkan melalui aplikasi WhatsApp.
“Pejabat ini yakin bahawa pelantikan Danesh Raj telah berjalan secara adil dan saksama serta selaras prinsip kesamarataan dan tidak mendiskriminasi, seperti yang termaktub di bawah Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan,” kata kenyataan itu.
Kenyataan juga menyebut, pejabat itu tidak mendapat makluman daripada mana-mana pihak mengenai pelantikan itu.
Bagaimanapun, Menteri Pengajian Tinggi ada menyebut di dalam Dewan Rakyat bahawa pelantikan Danesh Raj atas kapasitinya sebagai alumni universiti itu, seterusnya diyakini mengambil kira pencapaian akademik, tahap disiplin serta penglibatan aktif dalam program dan aktiviti ketika menjadi mahasiswa UM.
“Kenyataan Menteri Pengajian Tinggi turut menyatakan pelantikan Danesh Raj adalah keputusan Kementerian Pengajian Tinggi yang ingin melihat sumbangan anak muda dalam kepimpinan organisasi di peringkat nasional, terutamanya di universiti awam.”
Pihaknya turut mengalu-alukan pelantikan yang dibuat tanpa sebarang campur tangan dan hanya berdasarkan kelayakan, kebolehan serta potensi sebagai graduan dan alumni.
“Atas semangat kebersamaan dan Keluarga Malaysia, sudah tiba masanya anak-anak muda diberi lebih kepercayaan dan penghargaan tanpa mengira latar belakang kaum dan ideologi,” kata kenyataan itu lagi.