Taman Eko Rimba Kanching, Chongkak Park & Resort kembali terima pengunjung

Taman Eko Rimba Kanching, Chongkak Park & Resort kembali terima pengunjung

Taman Eko Rimba Kanching sudah beroperasi pada 4 Okt, manakala Chongkak Park & Resort akan dibuka semula pada 9 Okt.

Waktu operasi bagi kawasan riadah itu bermula pada jam 8 pagi hingga 6 petang dan had bilangan pengunjung terhad kepada 500 orang pada satu-satu masa, menurut Tourism Selangor. (Gambar Tourism Selangor)
PETALING JAYA:
Taman Eko Rimba Kanching, kawasan pelancongan seliaan Tourism Selangor sudah beroperasi pada 4 Okt lalu susulan peralihan Selangor memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Manakala itu Chongkak Park & Resort akan dibuka semula kepada umum bermula 9 Okt ini, dalam usaha menggalakkan kembali sektor pelancongan domestik.

Dalam satu kenyataan, Tourism Selangor berkata, waktu operasi bagi kawasan riadah itu bermula pada jam 8 pagi hingga 6 petang dan had bilangan pengunjung terhad kepada 500 orang pada satu-satu masa.

Bagaimanapun agensi itu berkata, pembukaan semula operasi tertakluk kepada SOP terkini yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Hanya individu yang berstatus risiko rendah dan kontak kasual risiko rendah yang dibenarkan masuk dan pengunjung wajib menunjukkan Sijil Vaksinasi Covid-19 yang lengkap,” katanya.

Sementara itu, Tourism Selangor berkata, aktiviti perkhemahan juga perlu mengekalkan jarak dua meter antara khemah lain dan
aktiviti bermalam tidak dibenarkan.

“Diharapkan orang awam dapat kembali menikmati aktiviti riadah alam semulajadi di Selangor, namun tetap menekankan soal keselamatan diri dan pengunjung lain dengan mematuhi garis panduan dan SOP yang ditetapkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.