Sempadan negeri akan dibuka serentak tidak lama lagi, kata PM

Sempadan negeri akan dibuka serentak tidak lama lagi, kata PM

Ismail Sabri Yaakob berkata berita gembira itu akan diumumkan beberapa hari saja lagi.

Sempadan negeri di seluruh negara akan dibuka serentak menjelang kelonggaran merentas negeri, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
KUALA LUMPUR:
Sempadan negeri di seluruh negara akan dibuka serentak menjelang kelonggaran merentas negeri yang akan dibenarkan tidak lama lagi, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, berita gembira itu akan diumumkan dalam beberapa hari sahaja lagi selepas kadar vaksinasi negara melepasi angka 90% populasi dewasa.

“Tunggulah saya umum, suspens sikitlah, kita tunggu, tapi dah tak lama dah… saya yakin tak lama, kita tunggulah… sehari, dua hari, tiga hari ke tak tahulah,” katanya kepada media selepas majlis prapelancaran Keluarga Malaysia.

Ismail berkata, walaupun pada awalnya kerajaan berjanji untuk melonggarkan aktiviti rentas negeri ketika kadar vaksinasi mencapai 80%, namun negeri di luar Lembah Klang masih merekodkan kadar vaksinasi rendah.

“Kalau kita buka seluruh negara, mungkin akan berikan kesan yang tak baik kepada negeri yang kurang dari segi peratusannya.

“Tetapi kalau 90%, kita jangka purata negeri-negeri sudah pun melebihi 80%, kita akan umumkannya dalam waktu terdekat,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, hanya 0.9% sahaja lagi kadar vaksinasi mencapai 90% sebelum sempadan negeri dibuka.

Dalam catatan di Twitter, Khairy menegaskan penguatkuasaan pematuhan SOP sedia ada di restoran, rumah ibadat dan tempat awam akan terus dipergiat menjelang pembukaan sempadan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.