
Timbalan Setiausaha Agung GRS Armizan Mohd Ali berkata, kenyataan itu bertentangan dengan hakikat bahawa Shafie, ketika menjadi menteri persekutuan, gagal bertindak semasa Rang Undang-Undang (RUU) Laut Wilayah yang mengubah sempadan maritim Sabah dibentang di Parlimen.
Katanya, RUU itu digubal secara tergesa-gesa untuk menggantikan Ordinan Darurat dan diluluskan di Parlimen, seterusnya berkuat kuasa bermula 22 Jun 2012.
Menurutnya, akta itu menetapkan had sempadan perairan Sabah kepada hanya 3 batu nautika, secara langsung mengubah persempadanan negeri sekaligus memberi kesan kepada hak dan kedaulatan negeri berkaitan minyak dan gas.
“Pada 2012, Warisan belum wujud tetapi Shafie seorang menteri kanan dalam kerajaan persekutuan dan menjadi naib presiden Umno, parti yang mendominasi kerajaan dan Sabah pada masa itu.
“Mengapa Shafie gagal mempertahankan hak dan kepentingan Sabah dalam isu penggubalan akta itu pada 2012 ketika beliau menjadi menteri persekutuan? Inilah contoh cakap tidak serupa bikin,” katanya dalam satu video di Facebook.
Armizan berkata, pendirian kerajaan Sabah di bawah GRS jelas tidak mengiktiraf Akta Laut Wilayah 2012 yang mengehadkan sempadan negeri kepada 3 batu nautika.
Katanya, atas kealpaan pemimpin Sabah pada peringkat persekutuan pada masa itu, kerajaan Sabah hari ini terpaksa bertegas untuk mempertahankan integriti dan kedaulatan Sabah.
“Dengan ‘track record’ ini, adakah kita yakin Warisan selamatkan Sabah atau kita selamatkan Sabah dari Warisan?” soalnya.