
Ketua Penerangannya Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, dengan keadaan negara berdepan pandemik Covid-19 pada masa ini, maka amat tidak sesuai untuk diadakan PRN.
“Dalam keadaan ini kita mencari jalan penyelesaian kepada keadaan yang berlaku di Melaka. Kita tak mahu diadakan PRN dan kita juga tidak bersetuju dengan darurat, perlu ada satu penyelesaian.
“Ia juga tidak menghalang kita memfailkan semakan atau gunakan mahkamah untuk menyemak keputusan (pembubaran) yang begitu tergesa-gesa,” katanya pada sidang media di sini malam tadi.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas Noor Effandi Ahmad.
Shamsul berkata, pertukaran Perdana Menteri yang lepas pun tidak perlu melibatkan pilihan raya, apatah lagi dengan situasi yang berlaku di Melaka.
Merujuk Perlembagaan Negeri Melaka, beliau mendakwa tiada sebarang klausa atau peruntukan yang tidak membenarkan Yang Dipertua Negeri menarik balik pembubaran DUN.
“Kemungkinan ada elemen yang memungkinkan wujudnya ruang untuk pihak Tuan Yang Terutama menilai semula dan mengkaji semula keputusan itu kerana ini perkara yang tak pernah berlaku,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Wanita Perikatan Nasional (PN) berkata, PRN Melaka tidak sesuai diadakan ketika negara masih lagi berhadapan dengan pandemik Covid-19.
Wanita PN menerusi kenyataan malam tadi memaklumkan walaupun negara kini sudah hampir mencapai sasaran imunisasi 90% golongan dewasa, namun risiko jangkitan dikhuatiri meningkat jika ratusan ribu rakyat Melaka keluar mengundi.
“Proses pemulihan negara dan Melaka sedang berjalan lancar dan usaha-usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan PN sebelum ini yang dipimpin oleh Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin, kini sudah mula menampakkan hasil positif,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Ketua Wanita PN, Rina Harun; Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh; Ketua Wiranita Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Evelyn Gobile; Ketua Wanita Parti Maju Sabah (SAPP), Irene Chan Kam Lan dan Ketua Wanita Nasional Gerakan, Janice Wong Oi Foon.
Bagaimanapun, Wanita PN bersedia untuk menghadapi PRN dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan bersesuaian.
Selasa lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka penggal ke-14 dan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran itu.
Speaker DUN Melaka Ab Rauf Yusoh sebelum itu mengumumkan DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt setelah dipersetujui Yang Dipertua Negeri Mohd Ali Rustam.
DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt lepas susulan tindakan empat ADUN, iaitu Idris Haron (Umno-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Umno-Pantai Kundor), Norhizam (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi (Bersatu-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali.