
Sepanjang tahun ini, tujuh daripada 10 kematian jalan raya di Malaysia membabitkan pengguna motosikal.
Statistik rasmi Bahagian Trafik Bukit Aman menunjukkan pengguna motosikal menyumbang 70.2% daripada 2,954 kematian di seluruh negara (semua jenis kenderaan) dari Januari hingga Ogos lalu.
Statistik terbaharu itu menunjukkan motosikal mencapai peratusan tertinggi dalam sejarah berbanding kadar kematian keseluruhan.
Sejak 2015, seramai 26,316 penunggang dan pembonceng motosikal terkorban, dengan peratusan kadar kematian tahunan sekitar 62.3% hingga 67.3%.
“Data terbaharu polis sangat mengejutkan kerana kami mengunjurkan Malaysia hanya mencapai 70% kadar kemalangan menjelang 2025 (untuk motosikal) jika dibandingkan dengan pengguna jalan raya lain,” kata Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Keselamatan Jalan Raya dan Persekitaran, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Muhammad Marizwan Abdul Manan.
Data yang dikumpul dari seluruh dunia menunjukkan kadar kematian jalan raya bagi setiap 100,000 populasi itu adalah tertinggi di Asia Tenggara dan Afrika.
Pakar global meletakkan Thailand sebagai jalan raya kedua tidak selamat di dunia selepas Libya, tetapi meletakkan negara jiran kita itu sebagai negara dengan kadar kematian tertinggi melibatkan motosikal sejak 2015.
Laporan Status Global mengenai Keselamatan Jalan Raya yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan pengguna kenderaan beroda dua dan tiga menyumbang 74% daripada keseluruhan 22,491 kematian yang dianggarkan di Thailand.
Dalam laporan global WHO pada 2015, Thailand mencatatkan 73% kadar kematian melibatkan kenderaan bermotor dua atau tiga roda. Dianggarkan terdapat 22 juta motosikal berdaftar di negara dengan 70 juta penduduk itu.
Di Malaysia, terdapat 15.2 juta motosikal berdaftar berbanding 15.5 juta kenderaan bermotor dalam pendaftaran data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Kira-kira 90% daripada motosikal berdaftar berkuasa 250cc dan ke bawah untuk model “under-bone” atau lebih dikenali sebagai “kapcai”.
Muhammad Marizwan berkata, kadar kematian penunggang motosikal mungkin dalam trend meningkat sehingga akhir tahun disebabkan jumlah trafik yang dijangka lebih tinggi selepas kebenaran merentas negeri diberikan, mungkin menjelang pertengahan bulan ini.
Menyifatkan statistik terbaharu daripada polis trafik persekutuan sebagai membimbangkan, beliau berharap pihak berkuasa, termasuk pembuat dasar akan meneliti kadar kematian dalam kalangan pengguna motosikal sebagai agenda nasional.
“Sejak tahun lalu, trafik jalan raya di Malaysia secara umumnya tidak sibuk kerana pelbagai sekatan pergerakan akibat pandemik, tetapi atas beberapa sebab, kita masih mempunyai kadar kematian yang tinggi untuk pengguna motosikal. Ini membingungkan.”
Katanya, negara mungkin menyaksikan kadar kematian penunggang motosikal lebih tinggi lebih cepat daripada unjuran dalam kajian MIROS.
“Kami mengunjurkan 2030 mungkin menyaksikan 80% kadar kematian (untuk pengguna motosikal), tetapi melihat keadaan semasa, ini mungkin berlaku pada 2025, jika kita tidak berbuat apa-apa sekarang.”
Beliau berkata, rangkaian laluan motosikal yang luas boleh menyelamatkan nyawa dan mengurangkan konflik trafik antara penunggang motosikal serta pengguna kenderaan lebih besar.