
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai Nur Amni Insyirah Saiful Tarmizi, 9, adiknya, Muhammad Aryan Faheem, 7, serta Nurulhasha Humaira Che Mohd Humaizi, 11.
Pengerusi Bencana Daerah Rosli Latif, berkata sebelum kejadian, mangsa dari Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu, dikatakan bersama ahli keluarga dan saudara-mara ke tempat berkenaan untuk berkelah jam 4.30 petang.
Sebaik tiba di lokasi, mangsa bersama tiga lagi saudaranya terus ke beting sungai kira-kira 50m dari tebing untuk mencari kepah.
“Kelekaan mangsa mencari kepah menyebabkan mangsa tidak menyedari air mulai pasang menyebabkan semua enam kanak-kanak terbabit tenggelam.
“Bagaimanapun tiga daripada mereka berjaya diselamatkan ahli keluarga yang menyedari kejadian itu, manakala tiga lagi hilang dibawa arus,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Rosli berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Setiu, Jertih dan Kuala Terengganu, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan nelayan serta penduduk kampung.
Operasi SAR turut disertai, Ketua Polis Daerah Afandi Husin dan Pengarah JBPM Terengganu Md Hilman Abd Rashid.