Harga baharu kit ujian pantas diumum Nov

Harga baharu kit ujian pantas diumum Nov

Penjualan kit ujian pantas di pasaraya juga dijangka dapat dilaksanakan menjelang akhir Oktober ini.

Kerajaan sedang membuat penilaian di peringkat industri sebelum menentukan harga siling borong dan runcit baharu kit ujian pantas Covid-19, menurut Alexander Nanta Linggi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengeluarkan paras harga baharu kit ujian pantas antigen Covid-19 selepas beberapa perkara diperhalusi dan dimuktamadkan pada November.

Menterinya, Alexander Nanta Linggi berkata, penjualan kit ujian pantas di pasar raya juga dijangka dapat dilaksanakan menjelang akhir Oktober ini.

Beliau berkata, kerajaan sedang membuat penilaian di peringkat industri sebelum menentukan harga siling borong dan runcit yang baharu bagi kit ujian pantas antigen Covid-19.

“Kerajaan telah menerima maklum balas daripada industri berhubung paras harga yang wajar dipertimbangkan supaya dapat menjamin bekalan yang mencukupi dan berterusan.

“KPDNHEP akan mengeluarkan paras harga yang baharu selepas faktor-faktor di atas diperhalusi dan dimuktamadkan pada November.

“Saya berharap semua pihak yang terlibat dalam penjualan kit ujian ini akan mengambil maklum dan memberikan kerjasama demi kebaikan semua pihak,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut memberi komitmen kementeriannya akan mempergiat usaha memantau harga dan persaingan kesan daripada peluasan penjualan kit ujian pantas antigen Covid-19 selain di farmasi dan klinik.

“Usaha yang digembleng bersama ini juga diharap dapat membantu negara keluar daripada pandemik ini dan seterusnya menghidupkan semula pelbagai sektor dalam negara termasuk sektor ekonomi domestik,” katanya.

Beliau bagaimanapun menggalakkan peniaga menawarkan harga lebih rendah dan munasabah tanpa menunggu kerajaan menentukan paras harga baru atas semangat Keluarga Malaysia dan kepentingan kit ujian pantas itu kepada masyarakat.

Ketika ini terdapat hampir enam juta kit ujian pantas Covid-19 di pasaran tempatan.

Pada 5 Sept, kerajaan menguatkuasakan harga kawalan bagi kit ujian pantas Covid-19 dijual pada harga maksimum RM19.90 bagi runcit dan RM16 bagi borong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.