
Bekas Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, semua cecair sanitasi mengikut klasifikasi tertentu yang mengandungi bahan kimia mencukupi untuk menghapuskan virus.
Bercakap kepada FMT Lee juga berkata, ia menjimatkan kos dan boleh digunakan sebagai pengganti sabun dan air terutama ketika berada di tempat awam.
“Cecair sanitasi tentunya menjadi penyelesaian yang masih praktikal. Ia mungkin berpotensi memberikan reaksi alahan jika terkena mata atau mulut, tetapi selagi anda mengamalkan penjagaan kebersihan dengan tidak menyentuh muka atau mulut, ia tidak menjadi masalah,” katanya.
Lee berkata, cecair sanitasi tanpa alkohol juga berkesan sekiranya ada yang tidak boleh menggunakan cecair sanitasi beralkohol disebabkan kulit menjadi kering dan merekah.
“Cecair sanitasi tidak beralkohol yang mengandungi natrium hipoklorit sudah memadai untuk membunuh virus,” katanya.
Ditanya sama ada bakteria boleh membina ketahanan sekiranya cecair sanitasi terlebih guna, Lee berkata, “tidak” kerana tujuan utamanya adalah untuk membunuh bakteria secara terus dan menghapuskan kehadirannya yang mungkin masih berada pada tangan.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai berkata, penggunaan cecair sanitasi masih disarankan kerana ia berupaya menghalang virus daripada terus aktif.
Bagaimanapun Koh berkata, amalan mencuci tangan dengan sabun dan air adalah kaedah terbaik kerana ia akan menghilangkan kotoran pada tangan.
“Ini mungkin tidak praktikal untuk melakukannya setiap masa. Oleh itu, kita harus sentiasa membawa cecair sanitasi bersama,” katanya kepada FMT.