
Beliau berkata, sekatan kepada orang luar amat penting kerana aktiviti kempen dikenal pasti sebagai punca utama merosakkan pencapaian pengawalan pandemik.
Katanya, SPR juga perlu menyediakan kad pengesahan untuk pengundi dari luar Melaka bagi membolehkan mereka balik menunaikan tanggungjawab.
“Pengundi luar perlu ada kad pengesahan sebagai bukti mereka ada sebab untuk masuk ke dalam kawasan PRN. SPR boleh buat, senang saja dan tiada masalah kerana semua maklumat ada dalam pangkalan data daftar pemilih. Pengundi boleh cetak sendiri.

“Jentera kempen dari luar jangan benarkan masuk, itu yang paling penting kerana yang merosakkan keadaan adalah aktiviti kempen.
“Kita tengok PRN Sabah, banyak perkara tidak dipatuhi malah orang Semenanjung yang balik berkempen tidak dipaksa kuarantin dan sebagainya,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan berkuat kuasa Isnin lalu, susulan kemelut politik yang tercetus di negeri itu, sekali gus menuntut PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, aspek paling perlu diberi perhatian dalam PRN Melaka ialah memperkenalkan SOP paling ketat serta kemas dan penguatkuasaannya dibuat secara tegas tanpa “memilih bulu”.
Katanya, cara kempen juga tidak boleh dibenarkan secara bersemuka dan besar-besaran, sebaliknya diubah melalui kaedah teknologi internet seperti penggunaan media sosial.
Dalam pada itu, Wan Ahmad menjelaskan Covid-19 tidak selamanya boleh dijadikan alasan untuk menghalang PRN kerana lebih 50 negara seperti Singapura, Korea Selatan dan Jepun berjaya mengadakan pilihan raya ketika pandemik.
Beliau berkata, penangguhan PRN juga akan menyebabkan krisis politik negeri itu tidak dapat diselesaikan secara tuntas malah ia akan berlarutan sehingga menjejaskan negeri berkenaan.
Katanya, kadar lengkap vaksinasi untuk populasi dewasa di Melaka setakat semalam sudah mencapai 88.6% juga perlu diambil kira untuk membolehkan PRN diadakan.