Saya ‘berkorban’ demi Najib di media sosial, kata Rosmah

Saya ‘berkorban’ demi Najib di media sosial, kata Rosmah

Rosmah Mansor berkata kritikan diterimanya di media sosial sebenarnya terhadap suaminya tetapi beliau yang menerima tempias.

Rosmah Mansor berkata, beliau menjadi sasaran serangan di media sosial ketika Najib Razak menjadi Perdana Menteri. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Rosmah Mansor, yang berdepan tuduhan rasuah berkait projek solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak berkata, beliau menjadi sasaran serangan di media sosial ketika Najib Razak menjadi Perdana Menteri.

Katanya, Najib pernah memberitahu kritikan itu sebenarnya terhadap pemimpin itu tetapi Rosmah yang menerima tempiasnya.

“Saya bersedia berkorban untuk suami. Saya terpaksa menerimanya kerana saya isteri ahli politik, lebih-lebih lagi Najib,” katanya ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram.

Sri Ram: Kamu bersetuju kamu sangat mendapat perhatian berbanding isteri Perdana Menteri lain?

Rosmah: Jika begitu, terima kasih.

Rosmah berkata kehidupannya sangat sibuk sebagai isteri Najib, yang menjadi Perdana Menteri pada 2009.

Katanya, isteri Perdana Menteri terdahulu tidak seaktif beliau dalam isu sosial dengan memberi contoh penglibatannya dalam program didikan awal kanak-kanak (PERMATA).

Katanya, beliau juga kerap diminta menyampaikan ucapan, termasuk di luar negara.

Rosmah berkata, tiada siapa yang memberikannya gelaran Wanita Pertama Malaysia, sebaliknya ia sekadar untuk tujuan pentadbiran.

“Saya tidak pasti sama ada Dr Siti Hasmah Mohamad Ali atau ibu mentua saya (Allahyarhamah) Rahah Mohamed Noah pernah diberi gelaran itu,” katanya.

Siti Hasmah adalah isteri Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri kelima dan ketujuh, manakala Rahah isteri Perdana Menteri Kedua, Abdul Razak Hussein yang juga bapa Najib.

Rosmah berkata, beliau tidak mempunyai pejabat sendiri di Pejabat Perdana Menteri (PMO) manakala semua urusannya dikendalikan pegawai khas, Siti Azizah Sheikh Abod.

“Beliau ditugaskan untuk saya kerana saya isteri Perdana Menteri. Beliaulah hubung kait antara saya dan PMO,” katanya.

Rosmah turut menolak cadangan Sri Ram bahawa beliau telah menggunakan bekas pembantunya Rizal Mansor untuk mengutip wang daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, dan pembantunya Rayyan Radzwill Abdullah.

Rosmah, 69, didakwa meminta RM187.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal, sebagai imbuhan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar berkenaan menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Beliau juga berdepan dua tuduhan menerima rasuah RM1.5 juta pada 2016, dan RM5 juta pada 2017, daripada Saidi.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung pada 21 Okt.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.