Pembantu tekong hilang dalam insiden bot karam ditemui lemas

Pembantu tekong hilang dalam insiden bot karam ditemui lemas

Identiti mayat disahkan sebagai Awang Omar Awang Hamsawi, 59, mangsa terakhir tragedi bot tersebut.

Pasukan mencari dan menyelamat membawa mayat pembantu tekong yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam di perairan Pulau Satang Sabtu lalu dalam operasi SAR di Jeti Telaga Air semalam. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Pembantu tekong yang dilaporkan hilang dalam insiden bot karam di perairan Pulau Satang, Sabtu lepas ditemui lemas petang semalam pada jarak 3.7 batu nautika dari lokasi kejadian.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim) Sarawak Zin Azman Md Yunus berkata, pihaknya menerima panggilan daripada bot pemancing yang melakukan pencarian memaklumkan penemuan satu objek disyaki mayat dalam keadaan terapung pada 4.22 petang.

Beliau berkata, mayat itu kemudian dibawa oleh pasukan penyelamat ke jeti Telaga Air dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pengesahan mayat telah dilakukan oleh pasukan forensik polis bersama waris di Hospital Umum Sarawak dan turut menemui kad identiti pada mangsa.

“Identiti mayat disahkan sebagai Awang Omar Awang Hamsawi, 59, mangsa terakhir tragedi bot tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sabtu lepas, sembilan daripada 10 pemancing, yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka karam pada kedudukan kira-kira dua batu nautika dari perairan Pulau Satang, berjaya diselamatkan oleh komuniti nelayan di sekitar Pulau Satang Besar pada kira-kira 1 pagi (Ahad) manakala seorang pembantu tekong masih belum ditemui.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.