
Presidennya, Abdul Razak Hassan berkata, pengambilalihan MyRA yang kini dikenali sebagai “National Railway Centre of Excellent” (NARCoE) adalah tidak wajar kerana KTMB akan kehilangan pusat latihan sendiri.
“Malah ia memberi implikasi kepada KTMB untuk mengeluarkan kos pembayaran kepada pihak yang mengambil alih MyRA dengan kos tinggi tentunya akan membebankan KTMB apatah lagi latihan yang diberikan melibatkan 5,700 pekerja KTMB.
“Pengambilalihan ini juga telah melupuskan pusat latihan kereta api yang wujud berpuluh tahun yang memberi latihan, kursus pendidikan kepada pekerja KTMB bukan saja dari sudut operasi, teknikal tetapi melahirkan pekerja berdedikasi,” katanya dalam kenyataan.
Razak berkata, kerajaan perlu menubuhkan NARCoE di satu lokasi dengan kos tanggungan MoT sendiri, bukan mengambil alih hak KTMB.
“Andai mahu melihat KTMB melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang kereta api melalui pusat latihan, kerajaan seharusnya membantu KTMB menerusi bantuan kewangan.
“Kerajaan harus sedar bahawa KTMB adalah syarikat yang diperbadankan melalui Kementerian Kewangan dan ia adalah syarikat perkhidmatan sosial kepada rakyat, bukannya syarikat berasaskan keuntungan,” katanya.
“Kerajaan harus kembalikan MyRA kepada KTMB. Amat tidak logik apabila dikatakan KTMB membebankan kerajaan dan MyRA diberi kepada syarikat luar.”