
Katanya, perkara berkenaan dalam peringkat untuk dibawa ke Jemaah Menteri.
“Bunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah sudah lama dibincangkan dan saya difahamkan setakat ini KDN dan AGC sudah setuju untuk memansuhkan Seksyen 309 berkait bunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah.
“Peringkat sekarang ia akan dibawa ke Jemaah Menteri dan seterusnya untuk membuat pindaan supaya kesalahan bunuh diri tidak akan disabit kesalahan jenayah lagi,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Che Alias Hamid (PN-Kemaman) berhubung perkembangan terkini mengenai undang-undang kesalahan bunuh diri.
Pada 15 Sept, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mempertimbangkan untuk mengeluarkan percubaan bunuh diri daripada sistem keadilan jenayah dan memasukkan individu yang melakukan cubaan bunuh diri ke dalam sistem rawatan kesihatan.
Katanya, AGC sedang meneliti dengan lebih lanjut pilihan perundangan yang ada serta implikasi perundangan sekiranya kesalahan percubaan membunuh diri dikeluarkan daripada sistem keadilan jenayah.