Gelembung perjalanan berjaya, Langkawi sedia terima pelancong antarabangsa

Gelembung perjalanan berjaya, Langkawi sedia terima pelancong antarabangsa

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri bagaimanapun berkata, belum ada garis masa ditetapkan.

Lebih 38,000 ketibaan direkodkan sejak Langkawi dibuka semula untuk pelancong tempatan pada 16 Sept lalu. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Projek gelembung perjalanan Langkawi disifatkan berjaya, seterusnya Malaysia kini membuat persediaan untuk membuka pulau peranginan itu kepada pelawat antarabangsa, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri.

Bagaimanapun katanya, belum ada garis masa ditetapkan.

Kenyataannya itu susulan kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bahawa kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya membuka sempadan kepada pengembara asing kerana sama ada mereka dibenarkan memasuki Malaysia ini akan bergantung kepada situasi Covid-19 di negara mereka.

Ismail memberitahu Dewan Negara hanya mereka yang telah divaksin lengkap akan dibenarkan memasuki negara ini, namun sempadan masih ditutup untuk pelancong.

Bercakap di Forum Kepimpinan dan Perkongsian ASEAN hari ini, Nancy berkata, Langkawi telah dibuka semula kepada pelancong tempatan pada 16 Sept dengan merekodkan lebih 38,000 kedatangan dan menjana pendapatan lebih RM15 juta.

“Gelembung perjalanan ini berjaya, seterusnya kita berusaha ke arah membenarkan pengembara antarabangsa melawat Langkawi,” katanya.

Katanya, adalah penting untuk negara ini bersedia dengan pelan pemulihan bagi memacu industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Kita perlu menyusun semula strategi agar dapat memperoleh daya saing bagi industri pelancongan, terutama di rantau ini,” katanya.

Tambahnya, pandangan pasaran mengunjurkan bahawa tumpuan pelancong adalah pada destinasi yang hampir dengan rumah, seterusnya kejayaan akan dicapai menerusi kerjasama dengan pemain industri.

Selain itu katanya, beberapa perkara dalam Pelan Pemulihan Negara telah diketengahkan bagi memacu semula industri itu.

Ini termasuk penyelesaian digital dan inovatif untuk memastikan pengembara mempunyai akses terhadap maklumat penting, seperti berkaitan kuarantin.

“Komunikasi dan kolaborasi antara negara-negara terutama melibatkan sektor awam dan swasta juga mesti ada.

“Sektor pelancongan menyediakan pendapatan dan pekerjaan untuk ramai orang dengan menyokong satu dalam empat pekerjaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.