Ahli politik Melaka penting diri, tak bertanggungjawab, kata MMA

Ahli politik Melaka penting diri, tak bertanggungjawab, kata MMA

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Koh Kar Chai berkata pelaksanaan PRN ketika ini mengundang situasi semasa kepada lebih buruk.

Ahli politik Melaka tidak bertimbang rasa dan melupakan pengorbanan petugas barisan hadapan kesihatan, yang berhempas pulas melawan wabak, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA). (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) membantah pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) Melaka susulan kebimbangan mengakibatkan situasi penularan Covid-19 lebih teruk.

Presidennya, Dr Koh Kar Chai, berkata ahli politik di Melaka bersikap mementingkan diri, malah tidak bertanggungjawab sehingga memaksa pelaksanaan pilihan raya, dalam usaha negara ini pulih semula kesan daripada wabak.

Dalam kenyataan, beliau berkata, walaupun ramai penduduk sudah menerima vaksin, namun jumlah jangkitan positif dilaporkan di negara ini kekal tinggi.

“Ramai kanak-kanak menjadi yatim, manakala isteri menjadi ibu tunggal kesan daripada jangkitan ini.

“Banyak mangsa terpaksa hidup menderita akibat ‘long covid’, dengan sebahagian bergantung kepada ‘oxygen concentrators’ bagi tempoh panjang.

“Pelaksanaan PRN ketika ini seolah-olah mengundang situasi semasa kepada lebih buruk,” katanya.

Koh ketika mengulas lanjut, berkata ahli politik Melaka tidak bertimbang rasa dan melupakan pengorbanan petugas barisan hadapan kesihatan, yang berhempas pulas melawan wabak, termasuk sentiasa berdepan bahaya apabila memberi rawatan kepada ribuan pesakit di hospital.

Katanya, program vaksinasi menjadi rahmat kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus merawat pesakit Covid-19.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, memberitahu Malaysiakini, pihak kementerian bersedia berdepan kemungkinan “buruk” sekiranya PRN Melaka diadakan.

“Kami bersedia berdepan situasi yang lebih buruk.

“Seperti mana yang berlaku di Sabah, kami menasihatkan tiada pilihan raya diadakan. Kita belum pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19,” katanya memetik laporan portal itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.