
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lapan lagi kes adalah varian Beta, menjadikan jumlah keseluruhan varian membimbangkan (VOC) yang dikesan dalam tempoh 12 hari itu adalah 392 kes.
“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan ‘Variant Under Monitoring’ (VUM) adalah sebanyak 2,252 kes.
“Daripada jumlah yang dikesan, sebanyak 2,232 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI,” katanya dalam kenyataan.
Dapatan itu hasil daripada kajian berterusan yang dijalankan oleh Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI-UKM), Fakulti Perubatan UM (FOM-UM), Institut Integrasi Farmakogenomik UiTM (iPROMISE-UiTM), Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika UM (TIDREC-UM), Institut Genom Malaysia (MGI) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).
Hisham berkata, secara keseluruhan, sehingga kini negara merekodkan 1,996 kes varian Delta, 222 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha.
Katanya, bagi varian mempunyai kepentingan (VOI), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyemak semula kategori ini pada 30 Sept.
“Terdapat hanya dua VOI yang baru, iaitu Lamba (C.37) dan Mu (B.1.621) manakala Theta, Kappa dan Eta telah dikategorikan sebagai ‘Variant Under Monitoring’ (VUM),” katanya.