
Dalam kenyataan hari ini katanya, beliau memaklumkan Menteri Kewangan berhubung keputusannya meletak jawatan pada Ogos lalu.
Rais berkata, beliau turut mengulangi hasratnya meletak jawatan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa pada awal September.
Peletakan jawatannya menyusul beberapa hari selepas beliau dikecam oleh persatuan perkapalan atas kenyataannya merendah-rendahkan Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berhubung isu kabotaj.
Rais, yang dilantik ke jawatan itu pada Jun 2020, menyifatkan perjalanannya dalam MDEC sebagai pengalaman hebat dan penuh bermakna kerana agensi itu kritikal dalam menerajui dan memacu ekoomi digital negara.
Sepanjang 15 bulan menjadi Pengerusi, katanya, beliau berjaya memberi nafas baharu kepada MDEC.
Ini termasuk penstrukturan semula pengurusan, menambah baik tadbir urus dan integriti dengan had kuasa budi bicara baharu serta menetapkan hala tuju strategik melalui Malaysia 5.0 (mencipta semula ekonomi digital negara), antara lain.
Rais berkata, tender terbuka boleh dipercayai untuk pemerolehan dipertingkatkan, manakala pentadbiran geran telus dilaksanakan menerusi “know how” dan bukannya “know who”.
“Sekarang, saya boleh katakan saya mempunyai pengalaman sangat berharga dalam memberikan nafas baharu kepada mencipta sebuah GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan cabaran yang diperlukan.”
Beliau berkata, pembaharuan GLC perlu dilakukan dengan penuh kepercayaan dan tanpa campur tangan politik aau bentuk lain kerana entiti itu dibiayai orang awam.
Katanya, beliau tidak pernah mengetepikan prinsipnya dalam menjalankan tugas dan kadangkala terpaksa membuat keputusan sukar “yang tidak popular”.
“Lebih mudah hanya ‘menurut’ arahan pemegang taruh kementerian dan atau kementerian yang memantau, tetapi ia akan menjadi percanggahan besar hati nurani.
“Saya sentiasa berpegang pada melakukan perkara betul dengan mematuhi prinsip betul. Jika tidak, ia akan melanggar prinsip saya sendiri.”