Keahlian ADUN Telok Mas gugur serta merta, kata Bersatu

Keahlian ADUN Telok Mas gugur serta merta, kata Bersatu

Setiausahanya Hamzah Zainudin berkata, keahlian Noor Effandi Ahmad gugur secara serta-merta di bawah Fasal 10 Perlembagaan Bersatu.

Hamzah Zainuddin berkata, kemelut politik di negeri Melaka perlu diselesaikan mengikut lunas Perlembagaan Negeri Melaka dan Perlembagaan Persekutuan dengan mengambilkira kepentingan rakyat.
PETALING JAYA:
Keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Noor Effandi Ahmad gugur secara serta-merta di bawah Fasal 10 Perlembagaan Bersatu, kata Setiausaha Agungnya, Hamzah Zainuddin.

Hamzah berkata, ini berikutan Bersatu kecewa apabila Effandi bersama tiga ADUN Melaka telah menarik sokongan terhadap Ketua Menteri sehingga membawa kepada pembubaran DUN Melaka ketika rakyat sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Ketetapan ini akan disahkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu akan datang,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Biro Politik Bersatu hari ini.

Dalam pada itu, Hamzah berkata Biro Politik Bersatu berpendapat kemelut politik itu berpunca daripada masalah dalaman parti politik tertentu dan bertambah parah apabila terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan tanpa memikirkan kebajikan rakyat serta kepentingan negara pada ketika ini yang masih di peringkat awal proses pemulihan.

Beliau berkata Biro Politik Bersatu berpendirian bahawa kemelut politik di negeri Melaka perlu diselesaikan mengikut lunas Perlembagaan Negeri Melaka dan Perlembagaan Persekutuan dengan mengambilkira kepentingan rakyat.

Semalam DUN Melaka dibubarkan dan pilihan raya negeri akan diadakan selepas Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali hilang sokongan majoriti ADUN negeri itu.

Pembubaran itu dibuat oleh Yang Dipertua DUN, Ab Rauf Yusoh selepas empat ADUN Melaka termasuk bekas Ketua Menteri Idris Haron menarik balik sokongan terhadap Sulaiman.

Pembubaran itu yang dipersetujui oleh Yang Dipertua Negeri, Mohd Ali Mohd Rustam, dilihat sebagai jalan keluar untuk mengatasi kemelut politik berkenaan dan membentuk kerajaan negeri baharu menerusi pilihan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.