Buat ujian kendiri Covid-19 sebelum balik kampung, kata KJ

Buat ujian kendiri Covid-19 sebelum balik kampung, kata KJ

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, saranan itu dibuat susulan negara ini bakal mencapai 90% penduduk dewasa lengkap divaksin dibenar rentas negeri.

Khairy Jamaluddin menerusi ciapannya di Twitter hari ini berkata, hanya berbaki 1.6% sebelum Malaysia mencapai sasaran 90% vaksinasi penduduk untuk membuka sempadan negeri.
KUALA LUMPUR:
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menyarankan mereka yang ingin pulang ke kampung agar menjalani ujian kendiri Covid-19, sebelum melakukan perjalanan rentas negeri.

Beliau berkata, mereka yang berada dalam persekitaran mobiliti tinggi dan bertemu orang ramai digalakkan membuat ujian Covid-19 secara berkala.

Khairy menerusi ciapannya di Twitter hari ini, berkata hanya berbaki 1.6% sebelum Malaysia mencapai sasaran 90% vaksinasi penduduk untuk membuka sempadan negeri.

“Kini Kementerian Kesihatan sudah beralih ke ujian simptomatik…jika anda ingin pulang ke kampung menziarahi orang tua, lakukanlah ujian air liur RTK. Jaga keselamatan mereka,” katanya.

Berdasarkan portal COVIDNOW, sebanyak 88.4% atau 20,698,852 golongan dewasa di negara ini telah melengkapkan vaksinasi masing-masing setakat semalam, tinggal kurang 2% untuk mencapai sasaran 90%.

Pada 22 September lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti merentas negeri akan dibenarkan apabila mencapai 90% golongan dewasa melengkapkan vaksinasi Covid-19 mereka.

Dalam ciapan lain, Khairy berkata, apabila negara memasuki fasa endemik, semuanya bergantung kepada tanggungjawab dan tingkah laku individu itu sendiri.

“Apabila kita memasuki fasa endemik, kita tidak boleh melakukan seperti sekatan jalan raya untuk melihat sekiranya anda sudah lengkap divaksin atau belum. Saya percaya kita boleh menghadapi cabaran dalam #ReopeningSafely,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.