5 anggota penguat kuasa antara 7 ditahan berkait kes samun

5 anggota penguat kuasa antara 7 ditahan berkait kes samun

Kesemua tujuh suspek dipercayai terbabit dalam kes samun berkawan direman selama enam hari bermula hari ini hingga 11 Okt.

Dua wanita berusia antara 19 hingga 24 tahun turut ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes samun di Cheras, Ahad lalu.
PETALING JAYA:
Lima anggota agensi penguat kuasa antara tujuh individu termasuk dua wanita, ditahan dipercayai terbabit dengan kes samun dalam beberapa serbuan berasingan, di sekitar Lembah Klang antara 4 hingga 5 Okt lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Muhammad Idzam Jaafar berkata, pada mulanya, polis menahan seorang lelaki dan merampas kunci motosikal serta pakaian miliknya dalam serbuan di Jalan Pekan Salak Selatan di sini, jam 11 malam, Isnin lalu.

“Kami turut menahan seorang lagi suspek di Pandan Indah, Ampang, Selangor dan merampas sebuah motosikal Yamaha Lagenda dan satu telefon bimbit jam 1.20 pagi, semalam.

“Kedua-dua suspek yang ditahan masing-masing berusia 25 dan 30 tahun dengan seorang daripada mereka mempunyai dua rekod jenayah membabitkan kes samun.

“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek berkenaan didapati negatif dan mereka direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 11 Okt ini untuk membantu siasatan,” katanya, menurut laporan Harian Metro.

Muhammad Idzam berkata, susulan tangkapan itu, pihaknya menahan lima lagi individu tempatan termasuk dua wanita berusia antara 19 hingga 24 tahun di empat lokasi berasingan di Salak Selatan, Pudu, Ampang dan Kajang bermula jam 8.30 pagi, semalam.

“Kami turut merampas barang kes termasuk sebuah motosikal Yamaha LC 135, sebuah kereta Proton Iswara, dua telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM3,000 dalam serbuan itu.

“Dua daripada suspek berkenaan memiliki rekod jenayah dan dadah, manakala ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati semua suspek terbabit negatif dadah.

“Mereka direman selama enam hari bermula hari ini hingga 11 Okt nanti bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan.

“Dengan penahanan tujuh suspek berkenaan termasuk lima daripada mereka yang bekerja di agensi penguat kuasa, kami yakin berjaya menyelesaikan kes samun di Cheras, Ahad lalu,” katanya.

Beliau turut menyeru kepada orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah di daerah ini dengan menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92840083, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.