10 ditahan langgar SOP, ambil dadah ketika bercuti di Langkawi

10 ditahan langgar SOP, ambil dadah ketika bercuti di Langkawi

Semua suspek adalah pelancong dari Kuala Lumpur dan sedang bercuti di pulau peranginan itu.

Polis merampas lapan peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis ketamin seberat 7.20g dan dua botol ubat batuk. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Polis menahan 10 pelancong lelaki yang berkumpul dalam sebuah bilik, selain merampas sejumlah dadah serta ubat batuk di sebuah hotel di Pantai Tengah, Langkawi, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi Shariman Ashari, berkata kumpulan lelaki berusia di antara 23 dan 31 tahun itu ditahan pada 1.30 pagi.

“Berbekalkan maklumat awam kerana mencurigai aktiviti sekumpulan lelaki, sepasukan polis membuat serbuan dan mendapati 10 lelaki berada dalam sebuah bilik di hotel itu.

“Pemeriksaan fizikal ke atas semua suspek dan sekitar bilik menemukan lapan peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis ketamin seberat 7.20g, selain dua botol ubat batuk,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Shariman berkata, siasatan mendapati semua suspek adalah pelancong dari Kuala Lumpur dan sedang bercuti di pulau itu, susulan pembukaan projek rintis gelembung pelancongan.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing pula mendapati enam daripadanya positif dadah jenis ketamin, manakala empat lagi negatif.

“Semua suspek turut dikenakan kompaun RM4,000 seorang atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana berkumpul dalam bilik hotel sama dan melakukan aktiviti sukar melaksanakan penjarakan sosial.

“Mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Perkara 9 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.