
Seramai 20,603,249 individu atau 88% daripada populasi dewasa telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.
Baru-baru ini Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, perjalanan merentas negeri akan dibenarkan apabila 90% populasi dewasa negara ini telah divaksin lengkap berdasarkan data dan analisis Kementerian Kesihatan (KKM).
Dalam pada itu, JKJAV turut memaklumkan, 94.4% atau 22,098,764 daripada populasi dewasa telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos.
Bagi populasi keseluruhan, seramai 20,717,373 individu atau 63.4% telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19, manakala 73.4% atau 23,961,163 telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Selain itu, mengikut data CovidNow, seramai 114,124 atau 3.6% populasi remaja telah melengkapkan suntikan vaksin setakat semalam.
Sebanyak 221,812 dos vaksin harian diberikan semalam membabitkan kedua-dua populasi tersebut.
Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah 44,573,891 dos.
PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.